Hadits Qudsi

Hadits Qudsi Pengertiannya pada bahasa: القدسي dinisbahkan kepada perkataan القدس yaitu suci, manakala Hadis Qudsi pula ialah Hadis yang dinisbahkan kepada Zat Yang Maha Suci yaitu Allah s.w.t. Dari sudut istilah: Hadis yang diriwayatkan kepada kita daripada Nabi s.a.w. Sanad Hadis tersebut disandarkan oleh Nabi s.a.w kepada Allah s.w.t samada bersambung atau tidak dan ianya bukan Al-Quran.
Hadits Qudsi
Nama kitab: Terjemah Musthalah Hadits (Mustholah Hadis)
Judul kitab asal: Musthalah Al-Hadits (Al-Hadith)
Penulis:
Penerjemah:
Bidang studi: Ilmu Hadits / MUSTHOLAH HADITS

Daftar Isi Kitab

B. YANG DISANADKAN KEPADANYA

1. Qudsi

Pengertiannya pada bahasa:

القدسي dinisbahkan kepada perkataan القدس yaitu suci, manakala Hadis Qudsi pula ialah Hadis yang dinisbahkan kepada Zat Yang Maha Suci yaitu Allah s.w.t.

Dari sudut istilah:

Hadis yang diriwayatkan kepada kita daripada Nabi s.a.w. Sanad Hadis tersebut disandarkan oleh Nabi s.a.w kepada Allah s.w.t samada bersambung atau tidak dan ianya bukan Al-Quran.

Bentuk Riwayatnya:

Untuk meriwayatkan Hadis Qudsi perawi boleh menggunakan dua bentuk riwayat yaitu:

1 - Sabda Rasulullah s.a.w tentang apa yang diriwayatkan atau (diceritakan) oleh Allah s.w.t.

2 - Firman Allah s.w.t sebagaimana yang diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w.

Hukumnya:

Terbahagi kepada Hadis yang diterima atau Hadis yang ditolak mengikut keadaan perawi.

Perbedaan Di antara Hadis Qudsi dan Al-Quran:

Keistimewaan dan kelebihan yang terdapat pada Al-Quran dan tidak terdapat pada Hadis Qudsi di antaranya ialah:

1- Al-Quran adalah Mukjizat yang berkekalan mengikut peredaran zaman, terpelihara dari diubah dan ditukar ganti serta lafaznya termasuk perkataan, huruf begitu juga gaya bahasa adalah Mutawatir.

2- Haram meriwayat Al-Quran dalam bentuk makna.

3- Haram menyentuh Al-Quran bagi orang yang berhadas, diharamkan membaca Al-Quran bagi orang yang berhadas besar dan seumpamanya.

4- Diwajibkan sebagai bacaan di dalam sembahyang.

5- Dinamakannya Al-Quran.

6- Beribadat dengan cara membacanya di mana setiap huruf akan dibalas dengan sepuluh kebaikan.

7- Sejumlah perkataan Al-Quran dinamakan ayat, manakala sejumlah tertentu bagi ayat Al-Quran dinamakan surah.

8- Lafaz dan maknanya dari Allah s.w.t melalui wahyu berbanding dengan Hadis.

Disebut keistimewaan ini di dalam kitab قواعد التحديث (Kaedah meriwayatkan Hadis).

2. Marfu’

Pengertiannya pada bahasa:
اسم مفعول dari ( رفع ) lawannya وضع , seolah-olah dinamakan Hadis Marfuk kerana dinisbahkan kepada pemilik kedudukan yang tertinggi yaitu Nabi s.a.w.

Dari sudut istilah:

Hadis yang dinisbahkan kata-kata, perbuatan, pengakuan atau sifat kepada Nabi s.a.w samada sanadnya bersambung atau tidak.

Jenis-jenisnya:

1 - Marfuk Tasrihi:
Yaitu Hadis yang dinisbahkan kata-kata, perbuatan, sifat atau pengakuan kepada Nabi s.a.w secara jelas.

* Contoh Hadis Marfuk dari kata-kata secara jelas: Seorang sahabat berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Begini atau Rasulullah s.a.w telah menceritakan kepada kami: Begini atau dia berkata:

Rasulullah s.a.w bersabda: Begini atau diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w sesungguhnya baginda bersabda: Begini.

* Contoh Hadis Marfuk dari perbuatan secara jelas: Seorang sahabat berkata: Aku telah melihat Rasulullah s.a.w melakukan begini atau dia berkata, mungkin juga orang lain berkata: Rasulullah s.a.w melakukan begini.

* Contoh Marfuk dari pengakuan secara jelas: Seorang sahabat berkata: Pada zaman Rasulullah s.a.w kami telah lakukan begini, atau dia berkata, mungkin juga orang lain berkata: Telah dilakukan begini ketika bersama Rasulullah s.a.w malah tidak dinyatakan bahawa Nabi melarangnya.

Marfuk Hukmi:

Ialah Hadis yang tidak dinisbahkan kepada Nabi s.a.w yaitu Hadis yang tidak jelas sebagaimana katanya: Sabda Rasulullah s.a.w atau telah lakukan atau dilakukan ketika bersama Rasulullah s.a.w.

* Contoh Marfuk Hukmi dari kata-kata yang tidak jelas: Seorang sahabat berkata: Tidak pernah disebut sebelum pendapat aku ini dan tidak ada ruang untuk berijtihad tentangnya, tetapi dibolehkan dengan beberapa syarat sebagaimana yang ditetapkan oleh Al-Iraqi: Sahabat tersebut mestilah dari kalangan mereka yang tidak meriwayatkan Hadis dari Ahli Kitab. As-Sayuti berkata: (Syeikhul Islam telah menjelaskan di dalam kitab شرح النخبة sebagai kata putus) dan mengemukakan contoh yaitu: -Yaitu seperti cerita tentang perkara yang telah lepas seperti permulaan kejadian makhluk, cerita para Nabi dan perkara-perkara berikut seperti mengamuk, fitnah dan keadaan Hari Kiamat. - Apa yang dilakukan akan diberi balasan pahala atau balasan siksa yang tertentu.

* Contoh Marfuk Hukmi dari perbuatan: Sahabat melakukan sesuatu yang tidak ada ruang yang membolehkannya berijtihad lalu dia menjadikan perbuatan tersebut sebagai hujah daripada Nabi s.a.w sebagaimana kata-kata Imam As-Syafie tentang sembahyang Kusuf yaitu sembahyang sunat gerhana yang dilakukan oleh Saidina Ali di mana dia melakukan lebih dari dua kali rukuk pada setiap rakaat.

* Contoh Marfuk Hukmi dari pengakuan: Sahabat menceritakan bahawa mereka lakukan pada zaman Nabi s.a.w begini maka ini akan termasuk dalam Hukum Marfuk dari satu sudut di mana jelas Nabi s.a.w mengetahui dan melihatnya, begitu juga kerana memenuhi permintaan mereka terhadap persoalan tentang urusan agama, juga kerana masa tersebut adalah masa wahyu diturunkan malah tidak pernah berlaku sahabat berterusaan melakukan sesuatu perkara sedangkan ianya tidak ditegah di mana sekiranya ditegah nescaya Jibril a.s turun memberitahu Nabi s.a.w supaya menegah para sahabat dari melakukan perkara tersebut.

Hukumnya:

Boleh dijadikan hujah serta beramal dengannya jika sahih dan diterima kerana setiap kata-kata, perbuatan pengakuan dan sifat dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w.

3. Mauquf

Pengertiannya pada bahasa:

اسم مفعول dari الوقف seolah-olah perawi berhenti meriwayatkan Hadis daripada sahabat malah tidak menyebut rangkaian perawi yang masih berbaki.

Dari sudut istilah:

Yaitu Hadis yang dinisbahkan kata-kata atau perbuatan kepada sahabat samada sanadnya bersambung atau tidak.

* Contoh Mauquf dari perkataan: Ibnu Umar r.a berkata begini atau Ibnu Mas'ud berkata begini.

* Contoh Mauquf dari perbuatan: Ibnu Umar menunggang binatang tunggangan seorang diri semasa musafir begitu juga orang lain. Manakala sebab dinamakan Mauquf adalah kerana Hadis tersebut boleh dipertikai, sekiranya tidak ada ruang untuk dipertikaikan maka ianya adalah Hadis Marfuk begitu juga sekiranya dirasakan bahawa sahabat mengambil Hadis daripada Ahli Kitab sebagai sangka baik terhadap sahabat. Dinamakan Hadis Mauquf terhadap Hadis yang dinisbahkan kepada taabi'ee atau bukan taabi'ee dengan syarat ada hubungan. Sebagai contoh kita berkata: Ini adalah Hadis Mauquf pada Ata', Tawus atau Malik.

Hukumnya:

Pada asalnya tidak boleh berhujah dengan Hadis Mauquf kerana ianya adalah kata-kata dan perbuatan para sahabat tetapi sekiranya ditetapkan dan Sahih maka sesungguhnya ia menguatkan sebahagian Hadis Dhaif dan perkara ini berlaku selama mana ianya tidak termasuk dalam hukum Hadis Marfuk, jika termasuk dalam Hukum Hadis marfuk maka ianya boleh dijadikan hujah sebagaimana Hadis Marfuk yang sebenarnya.

4. Maqtuk

Pengertiannya pada bahasa:

اسم مفعول dari ( قطع ) yaitu terpotong lawannya وصل yaitu bersambung.

Dari sudut istilah:

Hadis yang dinisbahkan kata-kata atau perbuatan kepada sahabat ataupun bukan sahabat, taabi'ee kecil atau besar samada sanadnya bersambung atau tidak.

Hadis tersebut dikeluarkan secara mengaitkan Hadis yang dinisbahkan kepada Nabi s.a.w, dinisbahkan pula kepada taabi'ee atau sahabat. Kadang-kadang Hadis Maqtuk dinamakan juga Mauquf berdasarkan kepada hubungannya. Sebagai contoh kata-kata mereka: Terhenti pada Ata' atau Polan telah menberhentikannya pada Mujahid atau Muammar telah memberhentikannya pada Hammam. Adapun Hadis Mauquf pada asalnya adalah merupakan kata-kata atau perbuatan yang dinisbahkan kepada sahabat.

* Contoh Maqtuk Ialah: Mujahid (di mana dia adalah dari kalangan taabi'ee). Apabila ingin meninggalkan sahabatnya dia berkata: Bertakwalah kepada Allah dan sebarkanlah ilmu ini, ajarkannya kepada orang ramai dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya.

Hukumnya:

Hadis Maqtuk tidak boleh dijadikan hujah kerana tidak mempunyai bukti bahawa ianya adalah Marfuk. Sekiranya terdapat bukti yang menunjukkan bahawa ianya adalah Marfuk kepada Nabi s.a.w maka ianya termasuk dalam hukum Marfuk. Begitu juga apabila terdapat bukti yang menunjukkan bahawa ianya Mauquf kepada sahabat maka ianya termasuk dalam hukum Mauquf.

* Hadis Maqtuk yang mempunyai hukum Marfuk antaranya kata-kata taabi'een pada sebab-sebab Diturunkan Al-Quran. Begitu juga kata-kata mereka terhadap sesuatu perkara yang mana tidak ada ruang untuk mereka memberi pendapat malah mereka tidak dapat mengambil riwayat tersebut melainkan daripada Nabi s.a.w
LihatTutupKomentar